SINOPSIS

Kisah Laila dan Majnun, Uda dan Dara atau Romeo dan Juliet, yang mana satukah yang dijadikan rujukan untuk kisah Qiqi dan Jimi? Tidak ada satu kisah pun yang sesuai untuk menggambarkan mereka berdua. Sikap mereka bagaikan anjing dan kucing. Pantang berjumpa, pasti akan mula perkelahian mereka. Berlarutan sehingga sahabat masing-masing sudah tidak dapat meleraikan pertengkaran mereka. Sudah lama Aqila Mastura menyimpan perasaan pada seorang lelaki yang bisa membuatkan hatinya bergetar di saat mereka bertembung pandang. Tetapi lelaki itu tidak bisa menyintai Qiqi seperti mana perasaan gadis itu terhadapnya. Bagi lelaki yang dikenali sebagai Asrul Imran itu, Qiqi hanyalah sahabat dan tidak lebih dari itu. Tidak mungkin dia punya perasaan yang lebih daripada seorang sahabat kerana hati Asrul Imran sudah lama terpaut pada keayuan dan kelembutan serta keanggunan, Lana Marlisa. Sedikit terasa dengan sikap Asrul yang seringkali berubah setiap kali dia berhadapan dengan Lala, Qiqi cuba menjauhkan diri. Dia dapat merasakan cinta Asrul hanya untuk Lala. Tetapi ada satu rahsia Lala yang cuba disembunyikan oleh Qiqi dari pengetahuan Asrul. Lelaki itu cuba memaksa Qiqi memberitahu perkara sebenar. Tetapi perkara yang sudah diamanatkan oleh sepupunya itu, tidak mungkin untuk Qiqi membocorkannya. Bagi Qiqi, biar pecah di perut, jangan pecah di mulut.
Syed Mohd Hazimi atau lebih dikenali sebagai Jimi, adalah anak kepada pasangan pereka landskap terkenal, Syed Hatim dan Syarifah Faridah. Jimi merupakan anak sulung kepada pasangan itu dan mempunyai 3 orang adik; Syarifah Natasha, Syed Mohd Hazam dan Syarifah Lela Analia. Atas sebab persahabatan yang sudah lama terjalin di antara Syarifah Faridah dan Hajjah Normah, mereka bersetuju untuk mengahwinkan anak mereka, Jimi untuk dijadikan suami Lala. Setelah segala persiapan pertunangan berjalan dengan lancar, Lala lari dari rumah tanpa khabar. Tidak langsung memaklumkan kepada Qiqi kemana dia pergi. Yang Lala tahu, dia harus pergi jauh dari situ. Tidak mahu menjadi tunangan kepada orang yang tidak dicintainya. Dia masih mahu mengejar impiannya yang satu. Qiqi agak terkejut dengan tindakan drastik Lala itu.
Untuk tidak mahu memalukan keluarga Syed Hatim dan Syarifah Faridah, Qiqi bersetuju untuk mengambil alih tempat Lala setelah berkali-kali dipujuk rayu oleh Hajjah Normah. Menjadi pengganti kepada kakak kembarnya itu. Bertunang dengan Jimi bukanlah impian Qiqi. Dia hanya ingin menjadi isteri kepada Asrul. Tetapi apakan daya, lelaki itu bukanlah jodohnya. Pertunangan ini hanyalah jalan keluar untuk dia melupakan Asrul. Maka bermulalah kisah kehidupan Qiqi dan Jimi.
Jimi dikenali sebagai buaya darat atau lebih spesifiknya, kaki perempuan. Kesemua perempuan di kampus itu cuba digodanya dan seringkali berjaya kerana Jimi mempunyai kriteria idaman wanita. Kacak, bergaya, dan juga dari golongan orang yang berada. Mempunyai kereta mewah. Tetapi hanya satu wanita sahaja yang berada di dalam hatinya iaitu Lana Marlisa. Qiqi langsung tidak mahu mengambil tahu akan aktiviti tunangannya itu. Bagi Qiqi, selagi mereka belum berkahwin, mereka bebas untuk berkawan dengan sesiapa sahaja. Lama-kelamaan, ada satu perasaan yang timbul dalam hati.
Kepulangan Lala memusnahkan segalanya. Bukan tidak gembira dapat berjumpa dengan Lala tetapi ada sesuatu yang menyebabkan Qiqi berperasaan sebegitu.
Apakah perasaan yang dialami oleh Qiqi dan Jimi dapat dilaksanakan dengan sebuah ikatan perkahwinan? Adakah kepulangan Lala akan menyemarakkan semula cinta Jimi yang pernah ada pada gadis itu? Adakah Qiqi akan melepaskan Jimi dan membiarkan lelaki itu berlari ke dalam pelukan Lala? Semuanya akan terjawab dalam kisah HAKMILIK TETAP HATIKU.

Jangan lupa untuk berikan komen ya.

Leave a comment